“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu daripada laki-laki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan supaya kamu saling berkenalan, beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa dikalangan kamu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan amalan kamu umat manusia” – Surah Al Hujuraat (Bilik-Bilik) ayat ke 13.
YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat memulakan sidang media yang penuh sesak dengan ayat di atas. Sidang media ini bukan saja sesak dengan pengamal media dari saluran perdana dan media online, tetapi juga dihadiri oleh Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan, ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Penyokong Kerajaan, pegawai-pegawai lantikan politik dan pegawai-pegawai Halaqat.
Tuan Guru membaca teks yang ditulis tangan dengan tulisan jawi. Berikut adalah intipati teks deklarasi Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 13 Mei 2009.
- Rakyat Malaysia perlu mengingatkan diri sendiri dengan perasaan cinta dan menyintai satu sama lain.
- Rakyat Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat.
- Kerana kita telah memilih sistem demokrasi berparlimen maka kita perlu diberikan kembali hak-hak sivil kita termasuk kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan rules of law dan natural justice. Serta amalan hak asasi manusia yang dijamin oleh perlembagaan Malaysia.
- Hak-hak itu perlu dikembalikan segera jika ia telah dirampas dari mereka selama ini
- Rakyat pelbagai bangsa, etnik dan keturunan perlu dijamin keselamatannya dari segala gangguan apa bentuk jenayah sekalipun.
- Selagi rakyat tidak selamat dari segala bentuk kegiatan negatif itu, selagi itulah kerajaan yang memerintah tidak akan selamat.
- Mari kita jadikan tanggal 13 Mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama, mempereratkan persaudaraan dan mahabah serta menolak mana-mana pihak yang menolak perpaduan kaum, yang mencetuskan isu-isu perkauman yang bukan-bukan untuk mengaut mileage politik bertujuan melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan.
- Kepada semua umat Islam saya menyeru, hayatilah mesej dalam salam yang disampaikan iaitu ‘peace be upon you’, disana ada makna yang sangat mendalam dan mesej persaudaraan tanpa batasan.
- Pada rakyat Malaysia amnya, mari kukuhkan persaudaraan dalam semangat kesepakatan rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala bentuk amalan kezaliman, rasuah dan ketidak adilan.
Demikian adalah deklarasi yang disampaikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Bilik Gerakan Negeri di Kota Darulnaim, Kota Bharu. Sejurus selepas itu Tuan Guru menyatakan hasratnya untuk menjawab sebarang soalan yang sekiranya ada dari pihak media dan semua yang hadir.
Apabila diminta mengulas berhubung keputusan Majlis Syura PAS, Tuan guru berkata keputusan Majlis Syura sudah dibacakan oleh Timbalannya Datuk Harun Din kepada pihak media, Tuan guru tidak berhasrat memberi sebarang ulasan.
Nik Aziz Berpatah Arang Dengan UMNO Barisan Nasional
Bila ditanya mengenai laporan akhbar yang memetik tulisan anaknya di blog berhubung persetujuan Tuan Guru menerima Kerajaan Perpaduan jika jawatan Menteri kewangan dan Pendidikan di beri kepada PAS tuan guru berkata,
“Tidak boleh, saya dengan UMNO saya tidak percaya. Terang-terang saya sebut saya tidak percaya keikhlasan dia, kerana dia telah tipu PAS, ketika dia tendang PAS dari Barisan Nasional, sedang dia tahu, PAS ketika hendak masuk Barisan Nasional tu, PAS pecah tiga kepada ada yang sokong, saya termasuk dibawah orang yang sokong masuk kedalam Barisan Nasional. Ada yang menjadi Hamim ada yang menjadi Berjasa”.
Tuan Guru juga memberitahu media betapa sukar untuk memulih balik PAS menjadi satu seperti sekarang dan berkata tiada jaminan yang UMNO tidak akan tendang PAS keluar seperti dahulu.
“Macam kami ni tolok kereta buruk UMNO lah, bila mapuh enjin dia ajak kami tolok, bila motokor jalan dia naik motokar kami kena sembur asap lagi.”
Tapi Nik Aziz berkata, jika UMNO menukar dari fahaman Kebangsaan kepada Islam, “Tak payah di ajak, saya sokong dia, tak ada sebablah nak lawan sesama Islam. Tapi kami lawan sekarang sebab UMNO bawak jalan sesat.”
Nik Aziz juga berkata sebagai orang Islam, “dalam sembahyang sering diulang tidak mahu jalan sesat!”.
Apabila ditanya oleh wartawan berhubung isu Kerajaan Perpaduan dan persaingan jawatan Timbalan Presiden diantara penyandang dan Dato’ Husam, Tuan Guru segera memotong dan berkata, “…Mana saya tau, tak tahu lagi, tetapi Perpaduan tak ada cara lain, lain pada UMNO ubah dasar dia daripada Kebangsaan yang menimbulkan perbalahan sesama kaum kepada Islam kerana Islam ini ajaran Nabi bukan ajaran profesor, ahli sains”
Tuan Guru juga menambah, “UMNO sendiri tendang presiden dia, bukan PAS tendang, UMNO sendiri tendang, dan di Perak pulak berlaku macam ini pulak. Semua Menteri Besar di Malaysia ini semua dilantik oleh rakyat. Rakyat menjadi hakim, hakim yang menentukan parti mana menang parti mana kalah. Di Perak pulak nasib tak baiknya Hakim menentukan Menteri Besar.”
Bila ditanya adakah Tuan Guru akan duduk semeja dengan UMNO jika UMNO tukar dari fahaman Kebangsaan kepada Islam, Tuan Guru menjawab, “Bukan saja semeja, lebih pada meja pun saya mau lagi….”
Tuan guru juga menafikan dia berusaha untuk mantapkan hubungan UMNO dengan PAS, “mana ada saya usaha untuk mantap. Saya panggil UMNO supaya masuk PAS kerana PAS ini dasarnya Islam. Di mana tak kena Islam, saya nak mintak orang UMNO tunjuk.”
Bila ditanya bagaimana PAS boleh kerja dengan PKR yang dipimpin oleh orang Melayu tetapi tidak mengamalkan Islam dalam Parti, Tuan Guru berkata, “Itu bukan parti saya, itu parti orang lain, dia nak kerjasama dengan saya, Alhamdullillah.”
Kickdefella
No comments:
Post a Comment